UPUS Ibu Pejabat telah menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada 02 Julai 2026 (Khamis) jam 10.00 pagi di Auditorium, Ibu Pejabat Pos Aviation, KLIA, Sepang, Selangor.
SEPANG, 2 Julai 2026– Satu lagi lembaran baharu dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara majikan dan kesatuan pekerja tercipta apabila Pos Aviation dan UPUS secara rasminya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis yang berlangsung di Auditorium Ibu Pejabat Pos Aviation, KLIA, hari ini.
Majlis yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu menjadi simbol komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan kerjasama ke arah meningkatkan kebajikan, kesejahteraan serta pembangunan warga kerja Pos Aviation.
Majlis dimulakan dengan ketibaan para tetamu jemputan, diikuti bacaan doa dan taklimat keselamatan. Seterusnya, Saravanan A/L Ramasamy Ketua Pegawai Eksekutif Pos Aviation menyampaikan ucapan pembukaan sebelum diteruskan dengan ucapan daripada Tuan Haji Ismail bin Haji Ali Presiden UPUS yang menekankan kepentingan hubungan harmoni antara majikan dan kesatuan pekerja demi memastikan kebajikan pekerja sentiasa menjadi keutamaan.
Kemuncak majlis menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pos Aviation dan UPUS sebagai simbol kesepakatan dalam memperkukuh kerjasama strategik serta memperjuangkan kebajikan dan kepentingan warga kerja.
Selepas sesi menandatangani MoU, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, Presiden UNI-MLC, turut menyampaikan ucapan tahniah dan menyifatkan kerjasama tersebut sebagai satu langkah progresif dalam memperkasakan peranan kesatuan sekerja serta memperkukuhkan hubungan industri yang lebih mampan di Malaysia. Beliau berharap persefahaman ini menjadi contoh kepada organisasi lain dalam mengutamakan kebajikan pekerja melalui kerjasama erat antara majikan dan kesatuan.
Tuan Haji Azzal bin Abu Talib, Pengarah JHEKS Selangor & Wilayah Persekutuan, turut menyampaikan ucapan yang menzahirkan penghargaan kepada kedua-dua pihak atas kejayaan memeterai MoU tersebut. Beliau berkata, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) sentiasa menyokong usaha yang mampu memperkukuhkan hubungan perusahaan yang harmoni serta menggalakkan amalan dialog sosial demi manfaat majikan dan pekerja.
Majlis diakhiri dengan sesi jamuan dan ramah mesra dalam suasana penuh muafakat, selaras dengan tema “Bersekutu, Bertambah Mutu”, yang mencerminkan aspirasi bersama untuk membina hubungan industri yang lebih kukuh, progresif dan mampan demi manfaat seluruh warga kerja.
Pegawai Ibu Pejabat yang terlibat adalah :-
Sdra. Haji Ismail Bin Haji Ali (Presiden)
Sdra. Sohibol Bahrin Bin Mohammed Ramlan (Tim. Presiden)
Sdra. Haji Shahrul Ariff Bin Arifin (Naib Presiden)
Sdra. Haji Nikmatullah Bin Abu Baka Citi (Setiausaha Agung)
Sdra. Zulkernaen Bin Sahbudin (PSUAI)
Sdra. Usaini Bin Mohamed (PSUAII)
Sdra. Wan KamarulAndee Bin Othman (Bend. Agung)
Sdra. Rosly Bin Muha (Pen. Bend. Agung)













































